Rukun Iman Islam

Rencana–rencana utama: Aqidah dan Iman

Iman ialah membenarkan dengan sepenuh hati, jiwa dan raga, menyatakan dengan lisan, dan melakukan dengan anggota badan. Para sarjana Islam menetapkan setiap Muslim mestilah percaya kepada enam perkara asas dalam Islam yang dikenali sebagai Rukun Iman, iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul, beriman kepada Kitab, beriman kepada hari Kiamat dan, beriman kepada Qada dan Qadar[23]

Muslim percaya bahawa Allah mewahyukan pesanan terakhir-Nya kepada manusia melalui Nabi Muhammad s.a.w. dan melalui malaikat Jibrail. Bagi umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan Nabiullah terakhir dan kitab Al-Qur'an merupakan wahyu yang diterima baginda lebih dari dua dekad.[24] Muslim percaya bahawa para nabi merupakan manusia dan bukan tuhan/dewa, meskipun mereka mampu melakukan mukjizat untuk membuktikan kenabian mereka. Para Nabi dianggap menjadi yang paling hampir sempurna dari semua manusia, dan uniknya merupakan penerima wahyu ketuhanan sama ada terus dari Allah atau melalui perantaraan malaikat. Al-Qur'an menerangkan nama-nama berbagai tokoh yang dianggap Nabi dalam Islam, termasuk Nabi Adam a.s., Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s.[25] Teologi Islam mengatakan bahawa semua pesuruh Allah sejak Nabi Adam a.s. memberi perutusan yang sama - Islam - penundukan kepada Allah. Islam dihuraikan dalam Al-Qur'an sebagai "sifat primordial bagaimana Allah mencipta manusia",[26] dan Al-Qur'an menyatakan bahawa nama Muslim telah diberikan oleh Nabi Ibrahim a.s.[27]

Allah

Rencana–rencana utama: Allah dan Tuhan dalam Islam
Lihat juga: Tauhid
Kaligrafi Allah dalam bahasa Arab

Konsep teologi asas Islam ialah tauhid-kepercayaan bahawa terdapat hanya satu Tuhan. Istilah Arab untuk Tuhan ialah Allāh; kebanyakan ilmuwan percaya ia diperoleh daripada penyingkatan kata al- (yang/itu) dan ʾilāh (tuhan), bermaksud "Tuhan" (al-ilāh), namun yang lain menjejak asal usulnya daripada kata Arami Alāhā.[28] Bangsa bukan Arab mungkin menggunakan nama lain untuk Allah, seperti "Tanrı" dalam bahasa Turki atau "Khodā" dalam Parsi. Kepercayaan kepada Allah juga merupakan sebahagian daripada Rukun Islam, di mana tauhid diluahkan dalam syahadah (pengakuan), dengan mengisytiharkan bahawa:

"Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah pesuruh Allah."

Dalam teologi tradisi Islam, Allah itu di luar pemahaman manusia; Muslim tidak perlu membayangkan Allah, cuma memuja dan sujud pada-Nya sebagai pencipta alam. Mereka mempercayai tujuan kewujudan ialah untuk menyembah Tuhan.[4] Qur'an kadangkala memerikan Allah dengan nama atau sifat lain, seperti al-Rahman, bermakna "Maha Pengasih" dan al-Rahim, bermakna "Maha Penyayang" (lihat Asmaul Husna).[29] Allah dihuraikan dalam surah 112 al-Qur'an sebagai:[30]

"Dialah Allah Yang Maha Esa; Allah, Yang Kekal, Mutlak; Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya." (112:1-4)

Dengan itu Muslim menolak doktrin Tritunggal Kristian, dan membandingkannya kepada politeisme.[31]

Kitab

Rencana–rencana utama: Kitab dan Al-Qur'an
Lihat juga: Sejarah al-Qur'an
Surah pertama dalam manuskrip al-Qur'an oleh Khattat Aziz Efendi

Muslim mempercayai bahawa terdapat beberapa kitab suci yang diturunkan Allah kepada nabi-nabinya, dengan al-Quran sebagai kitab terakhir. Mereka juga mempercayai kandungan kitab-kitab sebelum Al-Quran, Taurat dan Injil, telah dipesongkan—sama ada dari segi tafsiran, teks, atau keduanya.[5] Muslim menganggap al-Qur'an sebagai kata sebenar Allah; ia adalah pusat teks keagamaan Islam yang diturunkan dalam bahasa Arab.[32] Muslim percaya bahawa ayat Al-Qur'an telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. oleh Allah melalui malaikat Jibrail pada banyak peristiwa antara 610 dan kewafatan baginda pada 8 Jun 632. Al-Qur'an dilaporkan telah ditulis oleh sahabat Nabi semasa baginda masih hidup, namun cara utama penyampaian ialah melalui lisan. Ia telah disusun pada zaman khalifah pertama Abu Bakar as-Siddiq, dan telah dipiawaikan di bawah pentadbiran khalifah ketiga Uthman bin Affan.

Al-Qur'an dibahagikan kepada 114 surah, atau bab, yang apabila digabungkan, mengandungi 6,236 ayat. Surah lebih awal secara kronologinya, diturunkan di Makkah, menekankan topik etika dan kerohanian. Surah Madaniyyah berikutnya kebanyakannya membincangkan isu sosial dan moral yang berkaitan dengan masyarakat Muslim.[33] Al-Qur'an lebih menekankan panduan moral berbanding ajaran undang-undang, dan dianggap "buku sumber prinsip dan nilai Islam".[34] Pakar undang-undang Muslim merujuk hadith, atau rekod bertulis kehidupan Nabi Muhammad s.a.w., sebagai tambahan kepada al-Qur'an dan untuk membantu menafsirkannya. Sains ulasan dan takwil al-Qur'an dikenali sebagai tafsir.[35]

Perkataan Qur'an bermaksud "pengucapan". Apabila Muslim bertutur secara abstrak mengenai al-Qur'an, mereka lazimnya memaksudkan kitab suci yang dibaca dalam bahasa Arab berbanding karya bercetak atau sebarang terjemahannya. Bagi Muslim, al-Qur'an hanya sempurna seperti diturunkan dalam bahasa Arab asli; terjemahan adalah semestinya kurang tepat atas sebab perbezaan bahasa, kesilapan daripada penterjemah, dan kemustahilan mengekalkan gaya asal yang diilhamkan. Terjemahan oleh itu hanya dianggap sebagai ulasan terhadap al-Qur'an, atau "tafsiran maksudnya", bukan seperti al-Qur'an itu sendiri.[36]

Malaikat

Rencana utama: Malaikat

Kepercayaan kepada malaikat merupakan satu lagi asas keimanan Islam. Kata bahasa Arab untuk malaikat (malak) bermaksud "utusan", seperti yang setara dengannya dalam Ibrani (malakh) dan Greek (angelos). Menurut Al-Qur'an, malaikat tidak memiliki tekad bebas, dan menyembah Allah dengan kepatuhan sempurna.[37] Tugas malaikat termasuk menyampaikan wahyu daripada Allah, mengagungkan Allah, mencatat setiap perbuatan manusia, dan mengambil jiwa manusia di akhir hayatnya. Mereka juga difikirkan untuk menjadi perantara bagi pihak manusia. Al-Qur'an menghuraikan malaikat sebagai "utusan dengan kepak—dua, atau tiga, atau empat (pasang): Dia [Allah] menambahkan Makhluk mengikut kemahuan-Nya…"[38]

Nabi dan Rasul

Rencana–rencana utama: Nabi dan Nabi Muhammad s.a.w.

Muslim mengakui para nabi (Bahasa Arab: نبي‎) dan rasul (رسول) sebagai manusia yang dipilih Tuhan untuk menjadi utusanNya. Menurut Qur'an,[39] semua nabi merupakan manusia dan bukan tuhan, walaupun mereka mendapat mukjizat yang membuktikan kenabian mereka. Teologi Islam menyatakan semua rasul menyampaikan pesanan Islam—penyerahan kepada kehendak Tuhan. Al-Qur'an menyebut nama beberapa orang yang dianggap nabi, termasuk Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa.[40] Muslim juga percaya bahawa Allah menghantar Nabi Muhammad s.a.w. (Penutup segala Nabi) untuk menyebarkan pesanan ketuhanan ke seluruh alam (untuk menyimpulkan dan memuktamadkan kata Tuhan), sedangkan rasul-rasul sebelum baginda dihantar kepada puak atau kaum tertentu sahaja.[41]

Perbezan antara nabi dan rasul ialah seseorang nabi menerima wahyu daripada Allah SWT untuk dirinya sendiri, sedangkan rasul menerima wahyu daripada Allah SWT guna disampaikan kepada segenap umatnya.

Dalam Islam, contoh "normatif" kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dipanggil Sunnah (harfiahnya "kebiasaan"). Contoh ini dipelihara dalam tradisi yang dikenali sebagai hadith ("laporan"), iaitu rekod kata, perbuatan, dan perwatakan peribadi baginda. Muslim digalakkan untuk mencontohi perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan harian mereka, dan sunnah dilihat sebagai penting kepada panduan tafsiran al-Qur'an.[42]

Kebangkitan dan pengadilan

Rencana utama: Hari Kiamat

Kepercayaan pada "Hari Kebangkitan", Yawm al-Qiyāmah (juga dikenali sebagai yawm ad-dīn, "Hari Pengadilan" dan as-sā`a, "Saat Terakhir") juga penting pada Muslim. Mereka percaya bahawa masa Qiyāmah telah ditentukan oleh Allah tetapi tidak diketahui oleh manusia. Ujian dan kesengsaraan yang mendahului dan semasa Kiamat dihuraikan dalam al-Qur'an dan hadith, dan juga dalam komentar dari ulama. Al-Qur'an menekankan kebangkitan jasad, suatu pemecahan dari kefahaman Arab pra-Islam tentang kematian. Ia menyatakan bahawa kebangkitan akan diikuti oleh perhimpunan manusia, dan pengadilan mereka oleh Allah.[43]

Al-Qur'an menyenaraikan beberapa dosa yang boleh membawa seseorang ke neraka, seperti kufur, riba dan ketidakjujuran. Muslim melihat syurga (jannah) sebagai tempat keriangan dan kebahagiaan, dengan rujukan al-Qur'an menghuraikan sifatnya dan keseronokan fizikal yang akan datang. Terdapat juga rujukan kepada ridwān (kegembiraan dan senang hati).[44] Tradisi mistik dalam Islam meletakkan keseronokan kesyurgaan ini dalam konteks kesedaran yang amat terhadap Allah.[45]

Takdir

Rencana utama: Qada dan qadar

Selaras dengan kepercayaan Islam dalam takdir, atau ketentuan tuhan (al-qadā wa'l-qadar), Allah mempunyai pengetahuan dan kawalan penuh ke atas semua yang berlaku. Ini dijelaskan dalam ayat al-Qur'an seperti "Katakan: 'Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami'…"[46] Bagi Muslim, segala di dunia yang berlaku, baik atau jahat, telah ditentukan dan tiada apa yang boleh berlaku kecuali atas izin Allah. Menurut ahli teologi Muslim, walaupun peristiwa telah ditentukan, manusia memiliki tekad bebas dan dia boleh memilih antara betul atau salah, dan demikian bertanggungjawab atas perbuatannya. Menurut tradisi Islam, semua yang telah ditakdirkan oleh Allah ditulis dalam al-Luh al-Mahfūz, "Batu Suratan Terpelihara".[47]

Rujukan

WikiPedia: Islam http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=b... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-07/09/c... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.al-shia.com/html/eng/p.php?p=shia'&url=... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/295507/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/574006/S... http://www.britannica.com/eb/article-9105852/Islam http://www.cair.com/Portals/0/pdf/The_Mosque_in_Am... http://www.etymonline.com/index.php?term=Islam